Minggu, 08 September 2013

Dari Sahabat wiwintawa

Agama: Pemuda Al-Kahfi – Peribadi Mahasiswa yang dicari

Pemuda

Bulan September sering dikaitkan dengan bulan pengambilan pelajar-pelajar yang baru ke mana-mana Universiti atau Kolej dalam pelbagai bidang disamping berbagai tahap-tahap pengajian. Saban tahun, banyak university dan kolej ini melahirkan ribuan graduan, namun hari ini melihat semula kepada para remaja adakah kita boleh berasa selesa dengan angka yang mahu terlibat menyebarkan kefahaman islam tidak kira melalui jalan yang mana sekalipun berbanding mereka yang hanya memikirkan untuk memenuhi rutin kehidupan manusia biasa sahaja iaitu bekerja dan berkeluarga?
Belum lagi dinilai melalui status jenayah dan keparahan masalah social yang semakin menular dalam masyarakat kita hari ini, adakah kita bisa yakin bahawa generasi muda yang sedia ada kini boleh mencorak kehidupan lapisan generasi akan datang dengan ciri-ciri islam yang sempurna? Di sini, tergambar kepentingan golongan muda terutama yang bergelar mahasiswa untuk meningkatkan diri dengan tidak hanya dalam akademik tetapi mengcakupi aspek keluhuran peribadi.
Demikian, apakah ciri-ciri mahasiswa yang dikehendaki untuk kebaikan bagi setiap generasi?
Apakah ada contoh efisen yang bisa diteladani untuk membangunkan generasi dewasa ini?

Pemuda-pemuda pemelihara iman
Mungkin sebahagian daripada kita biasa melazimi pembacaan surah al-Kahfi pada pagi hari Jumaat. Namun amat malang jika kita cuba mendekati al-Quran dengan lebih mendalam dengan berusaha membaca kisah-kisah yang terdapat dalamnya terutama kisah pemuda-pemuda al-Kahfi yang teruji iman mereka. Pun begitu mereka tetap dengan pendirian bahawa Allah sahaja Tuhan yang Esa.
Allah s.w.t berfirman:
Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah “Ashaabul Kahfi” dan “Ar-Raqiim” itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami? [al-Kahfi:9]
Terdapat pelbagai riwayat yang menyebutkan tentan Ar-Raqim dalam ayat di atas. Sebahagian mufassirin (ahli tafsir) menyatakan ia adalah nama bukit tersebut dan terdapat padanya al-kahf yakni gua. Ada berpendapat bahawa ia adalah batu yang mana terukir nama-nama pemuda yang soleh ini. Namun apa yang lebih penting ayat ini menggambarkan kekuasaan Allah dan bukti bahawasanya Dia mampu mencipta apa sahaja lebih lagi hanya menghidupkan semula barang yang sedia ada.
Mungkin ada dalam kalangan kita tertanya-tanya mengapakah pemuda-pemuda ini menyembunyikan diri ke dalam gua?
Tidakkah mereka patut berusaha menyebarkan dakwah kepada masyarakat sekeliling?
Di sini, ada pengajaran yang bisa kita teladan. Tidak dinafikan semangat orang muda dalam membuat banyak perkara sama ada berkaitan dengan dakwah, organisasi persatuan amat memberangsangkan. Tetapi semangat ini perlulah selari dengan kerelevanan suasana, tempat dan masa yang betul.
Ketika itu, pemuda al-Kahfi membuat pilihan terbaik untuk kepentingan dakwah dan kelangsungan iman mereka menepati tiga aspek di atas.Mereka tidak lari dari reality kerana ketika itu raja yang memerintah negara tersebut sering bertindak zalim terutama mereka yang beriman kepada Allah.Tambahan, rakyatnya memberi support yang baik kepadanya.
Oleh sebab itu, dicelah kerosakan yang mana tidak sesuai di dalamnya penyebaran dakwah ditambah tiada golongan berilmu yang memberi sokongan untuk mendidik masyarakat, maka menyembunyikan diri buat mereka jalan yang terbaik kerana dikhuatiri mereka juga akan tergoda dengan rayuan orang sekeliling sejurus memutuskan rantai keimanan generasi tersebut kepada Allah.
Realiti hari ini, menyembunyikan diri tidak lagi sesuai ditambah ditengah-tengah masyarakat yang dahagakan didikan (tarbiyah) yang sempurna.Namun, berjaga-jaga dan menilai sesuatu perkara itu perlu dilakukan pada nilaian setiap aspek yang betul itu perlu diambil pengajaran agar usaha kita tidak hanya sekerat cuma tetapi bisa memberi impak yang maksima kepada masyarakat.

Pemuda-pemuda pilihan
(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami”.[al-Kahfi:10]
Dalam ayat di atas disebutkan perkataan yang mengkhususkan kepada ‘pemuda’ yang merujuk kepada tahap umur mereka pada ketika itu.Apa yang menariknya, dalam lembaran sejarah begitu sinonim dikaitkan bahawa pemuda merupakan golongan yang sering bersungguh dan memberi sokongan yang hebat terhadap penyebaran dakwah islam hinggakan pada zaman Rasulullah s.a.w, baginda memerintahkan untuk berbuat baik pada golongan ini bertepatan dengan bantuan yang dihulurkan.
Tetapi tidak bermakna ia suci dari dosa. Maka benar prasa kata yang menggambarkan kestabilan antara generasi muda dan orang-orang lama iaitu “Hikmah orang tua pada kesungguhan para pemuda”.Orang-orang lama kaya dengan pengalaman, orang muda mewah dengan tenaga dan buah fikiran yang mengimbangi perjalanan sesuatu urusan disamping memelihara kesinambungan perkara positif genarasi terdahulu.
Tambahan pula, golongan muda terbiasa dengan idea baru dan corak pergerakan yang baru berbanding golongan lama yang lebih suka static dengan pegangan yang lama.Mungkin disebab itu, mereka sukar menerima dakwah pemuda-pemuda ini dan akhirnya Allah memilih golongan pemuda sebagai penjaga agama-Nya ketika itu.
Suatu perkara yang penting dalam ayat ini adalah keazaman para pemuda ini untuk tetap teguh beriman dan akhrinya bertawakkal dalam penyempurnaan urusan.Contoh ini sangat baik diambil iktibar bahawa, keimanan yang utuh yang membawa manusia itu berjaya tambahan tawakkal supaya segala usaha mendapat petunjuk.
Menariknya juga, kaedah meminta bantuan Allah yang ditunjuk oleh pemuda-pemuda ini adalah disempurnakan ketentuan yang Dia telah tetapkan bukan apa yang mereka impikan. Lebih baik demikian bagi manusia dalam meminta bantuan kepada-Nya iaitu meminta dipenuhi kehendak kita tetapi bersandarkan apa yang Allah tentukan terbaik buat kita bukan apa yang kita rasa baik.

Ciri-ciri pemuda kahfi yang perlu dicontohi
Pada mereka ini (pemuda al-kahfi) ada contoh teladan yang baik boleh kita ikuti. Namun, lebih menarik ia dikaitkan dalam konteks realiti mahasiswa kerana mempunyai persamaan dari sudut peringkat umur. Bahkan ia adalah ciri utama mereka terpilih sebagai golongan istimewa yang terlakar dalam kitab-Nya. Allah merakamkan ciri-ciri mereka dalam ayat al-Quran seperti firman-Nya:
sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.{13} Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) {14} [al-kahfi:13-14]
  1. Memilih untuk beriman
Hakikat kehidupan adalah suatu pilihan.Pada setiap sedutan dan hela nafas manusia, kita diberi peluang membuat pilihan.Jalan kebaikan atau keburukan. Memilih beriman tidak sama dengan beriman kerana ia sebuah pilihan. Pada saat iman teruji, suasana pula menentang, ditambah kekangan dari kuasa yang lebih kuat (raja), namun jiwa pemuda-pemuda ini tiada gentar untuk memilih Allah dan Rasul sebagai pedoman.
Kata kunci yang dapat kita jadikan iktibar di sini adalah pilihan, semestinya yang mendatangkan kebaikan. Dalam membuat keputusan apa sekalipun perlu kita nilai dengan telus dari segenap aspek. Jangan gopoh kerna jiwa remaja terbiasa untuk cepat dalam menimbang banyak perkara.Pilihan yang terbaik adalah apa yang syara’ kata baik dan sebaliknya.
Berkenaan dengan pilihan juga ia bukan sekadar satu perbuatan static tanpa ada perkembangan. Pilihan perlu selari dengan tujuan dan perbuatan. Pemuda al-Kahfi memilih untuk beriman dan mereka cuba laksanakan perubahan tetapi kesudahan mereka Allah yang tentukan. Justeru itu, perlu kita focus dalam buat pilihan dengan berhenti beralasan, sebaliknya ada plan tambahan untuk perlaksanaan.

2.   Pergantungan kepada Allah punca diberi hidayah

Apa yang manusia rasa baik belum tentu sebenarnya ia baik pada diri mereka. Begitu sebaliknya. Hakikatnya Allah s.w.t  sahaja yang Maha Mengetahui segalanya. Berhenti beralasan dan terus membuat pilihan sebagai langkah perubahan perlu dihubungkan dengan Allah. Selalu mahasiswa hanya bertawakkal dalam bab perkahwinan dan peperiksaan tetapi meninggalkan aspek yang lebih penting iaitu keimanan.
Ya! Kita telah beriman tetapi belum tentu iman kita sempurna.
ya! Kita telah beriman tetapi belum tentu kita mati dalam keadaan demikian.
Jika setiap perbuatan kita bersandarkan kepada Allah tambahan pula dalam bab yang baik dengan niat ikhlas membantu agama Allah, dengan izinNya segala gerak kerja kita terlaksana di bawah naungan Allah. Lihat sejarah baginda di Taif.Di halau dengan hina dan perbuatan yang menyeksakan tetapi tetap sahaja bergantung kepada Allah diberi petunjuk keluar dari masalah. Dengan kesabaran baginda, hari ini kita dapat merasai nikmat yang utama islam dan iman.

3.     Membulatkan tekad
Was-was adalah permainan syaitan. Dalam hal dunia sahaja manusia bisa ragu-ragu tambahan dalam bab aqidah dan ibadah serta perihal yang ghaib berkaitan dosa dan pahala. Sebab itu, kita lihat generasi hari ini rosak disebabkan sikap ragu terhadap kebenaran yang dijanjikan Allah sama ada dalam bentuk ganjaran atau peringatan dengan azab seksaan.
Demikian, jika kita membuat pilihan yang menepati syara’ dengan keazaman yang tinggi dan matlamat yang jelas serta menaruh harapan sepenuhnya usaha kita kepada Allah, nescaya Dia akan berikan kepada kita petunjuk dan naunganNya disamping membulatkan tekad kita untuk menyempurnakan amalan kita hingga balik bertemuNya.
Tambahan lagi, yang paling utama dengan pilihan kita itu, moga-moga Allah bimbing kita untuk merasai  nikmat kejayaan Islam seperti yang telah dijanjikanNya sebagaimana yang ditunjukkan kepada pemuda Al-Kahfi setelah sekian lama ditidurkan. Atau lebih baik, Allah kurniakan kepada kita nikmat tegolongan dalam golongan yang membantu agamaNya menjadi pemuda al-Kahfi untuk abad ini.

Kesimpulan: Jauhi Kelalaian yang melenakan
Dr ‘Aid Abdullah Al-Qarni ada menyebutkan beberapa halangan yang menyebabkan remaja terutamanya sukar untuk melakukan perubahan. Antaranya:
  1. Mengetepikan orang yang berilmu dalam kalangan ulama’ khususnya atau golongan professional dengan lebih mengagungkan idola-idola yang melalaikan.
  2. Menjauhi tempat pengajian dan masjid serta lebih utamakan hiburan
  3. Berlebihan dalam bermain dan terlalu teruja meminati sukan
  4. Suka berteriak dan saling mencela serta bertutur dengan bahasa kasar
  5. Menjadi supporter fanatic dan mudah terpengaruh

Ayuh para pemuda kita muhasabah semula.Memang muda hanya sekali.Begitu juga mati. Bahkan mati tidak kenal usia atau keadaan bersedia, ia datang bila-bila masa. Selain itu, generasi akan datang juga dicorakkan oleh pemuda. Baik pemudanya baiklah generasi seterusnya.
Mulakan langkah perubahan!
rujukan:
1. Tafsir ibn kathir
2. Jadilah Pemuda Al-Kahfi, Dr A’id Qarny
3. Tidurnya Mereka 309 tahun, Abdul Fatah Zakaria
4. Sehingga Pemuda Mengerti, Dr Abdullah Naseer Uluwan

Tidak ada komentar:

Posting Komentar