Minggu, 08 September 2013

Sahabat wiwintawa

Kehidupan: Pendidikan – Antara Objektif dan Metodologi

4354858309_8afd751b07_b
Pendidikan Untuk Semua
Setiap individu, lelaki atau perempuan, berhak dan bertanggungjawab untuk menuntut ilmu. Daripada kefahaman ilmu, amal yang soleh dapat dipupuk. Ilmu, faham, dan amal ialah tiga peringkat dalam pendidikan.
Objektif pendidikan ialah melahirkan individu-individu yang akarnya satu dan kuat (berpendirian), tetapi cabangnya banyak dan pelbagai (versatil). Mereka yang berpendidikan mempunyai identiti yang jelas dan, dalam masa yang sama, mereka berupaya untuk membawa diri dalam pelbagai situasi.
Ibarat pokok yang dapat berdiri teguh dalam cuaca yang berubah-ubah.
Antara Objektif dan Metodologi
Persoalan yang saya ingin lontarkan sekarang ialah: bagaimana untuk kita menjadi individu-individu yang berpendidikan?
Saya tertanya-tanya, berapa ramai antara kita yang akan menjawab soalan tersebut dengan jawapan yang sama: pergi ke sekolah. Itulah institusi yang paling tidak asing bagi kita. Memang benar, pendidikan boleh dicapai dengan pergi ke sekolah, tetapi tidak semestinya.
Tujuan artikel ini ialah untuk membezakan antara objektif dan metodologi untuk mencapai objektif tersebut. Pendidikan ialah satu objektif, manakala sekolah ialah satu metodologi.
Pendidikan wujud sebelum sekolah wujud. Sejak berabad-abad lamanya, manusia memperolehi pendidikan tanpa sekolah. Mereka tidak pergi ke sekolah, tetapi mereka tidak bodoh. Mereka celik akal. Para sahabat tidak pergi ke sekolah seperti kita, tetapi mereka adalah golongan yang berpendidikan (mungkin lebih terdidik daripada kita yang bersekolah).
Keperluan Kepada Kepelbagaian
Saya lihat ramai antara kita yang fikir bahawa tanpa sekolah, maka kita tidak boleh memperoleh pendidikan. Sekolah ialah salah satu metodologi untuk memperoleh pendidikan tetapi ia bukanlah satu-satunya metodologi untuk memperoleh pendidikan.
Hakikatnya, sistem persekolahan yang konvensional tidak inclusive. Ramai yang tidak sebati dengan metodologi ini, bukan kerana mereka tidak pandai tetapi kerana ia tidak sesuai dengan diri mereka.
Itu normal. Lain orang, lain caranya.
Ada yang boleh pergi jauh dengan sekolah kerana mereka dapat suaikan diri dengan metodologi ini. Tetapi, ada yang tidak dapat sebatikan diri dengan sekolah bagaikan air dan minyak. Bagaimana untuk kita bantu mereka? Yang pasti, paksa mereka untuk datang ke sekolah bukanlah solusinya.
Oleh sebab itu, kita perlu kreatif untuk menyediakan pelbagai metodologi alternatif supaya kita tidak asingkan sesiapa pun kerana semua individu berhak untuk memperoleh pendidikan. Mungkin kita perlu ubahsuai metodologi persekolahan yang sedia ada, ataupun mungkin kita perlu cari metodologi yang lain.
Saya bukan anti-sekolah. Tetapi, saya anti kepada pemikiran yang sempit. Saya anti kepada pemikiran bahawa kita semua boleh muat dalam satu kotak. Dunia ini luas dan dipenuhi dengan manusia yang pelbagai. Maka, metodologi kita juga harus pelbagai.
Jika sesuatu metodologi itu tidak membuahkan hasil (tidak mencapai objektif), maka tidak rasional untuk kita teruskan dengan metodologi tersebut. Kita patut ubah dan kita patut berani untuk ubah.
Kita perlu bezakan antara orang yang bersekolah dengan orang yang berpendidikan kerana dua golongan ini tidak semestinya sama.
Semua orang perlukan pendidikan, tetapi tidak semua orang perlukan sekolah.
Aiman Azlan

Tidak ada komentar:

Posting Komentar